NDC WEBPAGE
KATA  ALU-ALUAN PENGETUA

     Pendidikan di Malaysia telah memasuki alaf baru.  Banyak perubahan dan kemajuan yang drastik telah mewarnai bidang pendidikan negara selaras dengan kemajuan teknologi moden yang bertunjangkan teknologi maklumat.

     Perubahan  dan kemajuan pendidikan negara adalah selari dengan pembangunan insan.  Menyedari hakikat ini, kami mempunyai komitmen untuk memberi pendidikan kepada pelajar-pelajar supaya lahir insan yang seimbang merangkumi pembangunan intelek, rohani , emosi dan jasmani seperti yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara.  Kami berusaha dari semasa ke semasa untuk melahirkan warganegara yang berilmu, berdisiplin dan bersahsiah serta sedia berdaya saing untuk mencapai wawasan negara.

     Kami sentiasa menekankan kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum.  Sebagai contoh , prestasi akademik tahun 1997, memperlihatkan sekolah kami berjaya mencapai kejayaan yang  membanggakan.  Peratus kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) berdasarkan minimum 5D, sekolah ini mencapai kelulusan 99% dan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia ialah 83.7%.  Pada tahun ini, dalam bidang ko-kurikulum, sekolah ini muncul sebagai johan peringkat negeri dalam permainan bola tampar, bola keranjang, bola lisut dan ping pong.  Lima orang pelajar telah dianugerahi Lambang  Warna Majlis Sukan Sekolah Melaka (MSSM).

     Kejayaan yang berterusan yang dicapai oleh sekolah ini adalah hasil usaha gigih dan komitmen yang bersepadu oleh semua pihak, iaitu guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Kami berkeyakinan tinggi sekolah ini boleh mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan sahsiah kerana kami mempunyai pengurusan pendidikan yang baik.   Guru-guru sekolah ini terdiri daripada golongan profesional yang berdedikasi dan beriltizam dan mampu membimbing pelajar ke arah kecemerlangan.  Kesedaran teknologi maklumat di kalangan kami meningkatkan daya saing secara global untuk kemajuan pelajar dan negara.
 
Balik Ke Menu Utama