SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH MENENGAH NOTRE DAME CONVENT (SMNDC) , MELAKA .

 

i) Sejarah permulaan sekolah - Sebelum tahun 1960

Sekolah Menengah Perempuan Cina Notre Dame adalah nama asal sekolah ini. Ia telah ditubuhkan pada 4 Januari 1960 di Melaka di tempat ia berada sekarang. Ia telah dikendalikan oleh sebuah badan Kristian, ‘ Sisters of the Holy Infant Jesus’ Order ’ di bawah kawalan Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa itu. Pengetuanya yang pertama ialah Sister Marie Angele Pang.

Jika dikaji secara terperinci, sebenarnya sejarah SMNDC bermula pada 1948. Pada tahun itu seorang biarawati dari Ireland yang bernama Mother Martha telah mengambil berat tentang pendidikan kanak-kanak perempuan Cina di Melaka. Beliau adalah mewarisi semangat yang diasaskan oleh Father Barre yang bermula pada tahun 1666 di Perancis iaitu kira-kira 300 tahun yang lalu. Semangat Father Barre yang ingin melihat kanak-kanak sedunia semuanya berpeluang menimba ilmu pengetahuan telah tersemai di Perancis. Seterusnya ia berkembang ke empat belas buah negara lain di seluruh duniadan akhirnya telah dibawa ke Malaya pada tahun 1852. Sekolah yang didirikan oleh mubaligh Kristian ini telah berkembang di Malaya termasuk di Melaka. Daripada Lampiran 2, jelas sekali menunjukkan tujuan utama badan "Sisters of the Holy Infant Jesus’ order’ adalah memberi pendidikan dan formasi Kristian kepada kanak-kanak sedunia. Daripada statistik, didapati Seramai 73,605 anak didik telah menerima pendidikan bercorak ini terutama di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya di negeri-negeri selat seperti di Melaka. Oleh itu anak didik di SMNDC juga tidak terkecuali. Ini menunjukkan bahawa masyarakat tempatan terutamanya kaum Cina memberi sambutan yang baik terhadap pendidikan yang diberikan bahkan ramai yang telah menerima ajaran agama Kristian sebagai panduan hidup mereka ketika itu. Keadaan sekarang telah berubah. Dai bawah sistem pendidikan masa kini, pengarung golongan agama Kristian tidak lagi bertapak di sekolah ini lagi. Satu sistem yang bersepaduan dan berbentuk kemalaysiaan terus menanamkan semangat kekitaan di kalangan pejlajar.

Pada tahun 1948, Mother Martha mendapati ramai kanak-kanak terutamanya perempuan Cina tidak bersekolah pada masa itu kerana tidak diberi peluang belajar oleh para ibu bapa masyarakat Cina ketika itu. Ini adalah kerana ibu bapa masyarakat Cina pada masa itu hanya mementingkan pendidikan anak lelaki mereka sahaja.Atas kesedaran itu, beliau telah memberi sebuah rumah kedai di Jalan Tranquerah untuk memulakan sebuah sekolah convent Cina di bawah arahan Sr. Henry Au dengan 23 orang pelajar dan 1 orang guru sahaja. Setahun kemudian, sekolah ini telah berpindah ke sebuah rumah yang berhadapan dengan Gereja St. Theresa sekarang yang terletak di Jalan Gajah Berang, Melaka. Tetapi sekolah ini ditutup 2 tahun kemudian. Krew kami cuba mencari puncanya penutupan sekolah ini ketika itu . Dalam catatan buku sejarah sekolah ini, puncanya penutupan sekolah adalah kerana masalah tapak sekolah dan juga kekurangan sumber kewangan untuk membeli tapak sekolah ini Tanpa putus asa dan dengan semangat gigih yang berpegang teguh kepada prinsip yang telah tersebut di atas, pada tahun 1957, Rev. Mother Pius telah berjaya memohon sebidang tanah seluas 5 ekar dari kerajaan negeri Melaka, yakni tapak sekolah pada masa sekarang. Atas usaha pihak ‘ Sisters of the Holly Infant Jesus’ Order ’ , projek pembinaan sekolah dijalankan dengan rancak sekali. Akhirnya terbinalah sebuah bangunan sekolah yang menjadi kepunyaan SRJK(C) Notre Dame sekarang. Bangunan ini mempunyai 8 bilik darjah, sebuah kantin dan sebuah blok tandas.

ii) Sejarah sekolah selepas tahun 1960

SMNDC benar-benar bermula pada tahun 1960. Pada masa itu, sekolah menengah menumpang 2 bilik darjah sekolah rendah bermula dengan 76 orang pelajar di kelas peralihan. Pada masa itu, Blok A sekolah menengah sedang giat dirikan. Blok A adalah sebuah bangunan 2 tingkat yang akan mempunyai sebuah makmal sains, bilik sains rumah tangga, bilik lukisan, perpustakaan, 7 buah bilik darjah dan tandas.

 

Pada Januari 1961, apabila Blok A siap dibina, sekolah menengah telah berpindah ke bangunan baru. Pada masa itu terdapat 2 kelas tingkatan 1 dan 2 kelas peralihan. Pada tahun 1962, sekolah ini berjaya mengadakan 3 kelas peralihan. Memandangkan keperluan pada masa hadapan, Blok B yang mempunyai 5 bilik darjah tambahan dan sebuah dewan telah dicadang bina dan dapat disiapkan pada tahun 1964.

Pada tahun 1963, jumlah pelajar SMNDC adalah seramai 335 orang. Pada tahun ini juga pelajar-pelajar sekolah ini buat pertama kalinya menduduki peperiksaan L.C.E . Pada tahun 1965, pelajar-pelajar yang telah lulus peperiksaan L.C.E ini pula menduduki peperiksaan ‘ Senior Cambridge ’ dan M.C.E .

Sekolah ini terus berkembang dan mendapat sokongan penduduk sekitarnya. Pelajar-pelajarnya umumnya berbangsa Cina dan beragama Kristian. Walau bagaimanapun pihak sekolah tidak pernah menghalang kemasukan pelajar-pelajar berbangsa lain. Justeru itu, sekolah ini juga mempunyai beberapa orang pelajar yang berbangsa India. Biasanya mereka ini fasih berbahasa Mandarin kerana mereka berasal dari sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Pada tahun 1967, sekolah ini mempunyai 15 kelas dengan jumlah 530 orang pelajar. Sekali lagi sekolah ini menghadapi kekurangan bilik darjah. Walaupun menghadapi masalah kewangan, pada tahun 1969 Blok C telah dicadang bina dan telah siap dibina pada tahun 1970. Bangunan ini menempatkan bilik jahitan dan bilik masakan di tingkat bawah dan 3 bilik darjah di tingkat 1 . Datuk Hussein Onn pada masa itu sebagai Menteri Pelajaran Malaysia telah diundang khas untuk merasmikan bangunan ini pada 24 Jun 1971. Blok D pula didirikan pada tahun 1973 . Ia mengandungi 4 bilik darjah. Pelajar-pelajar telah mula menggunakan blok ini pada penggal 3, 1973. Menurut catatan buku sejarah sekolah ini, pada tahun 1982 Blok E berjaya didirikan. Ia mengandungi sebuah kantin di tingkat bawah dan perpustakaan sekolah di tingkat 1 . Buat pertama kalinya sekolah mempunyai kantin sendiri selepas 21 tahun berkongsi kantin dengan sekolah rendah.

Blok F iaitu Blok terbaru sekolah yang mempunyai 4 tingkat telah siap dibina pada tahun 1990 atas usaha bekas pengetua sekolah Puan Chan Swee Yen, guru-guru, pelajar-pelajar dan para dermawan yang budiman. Pada tahun 1992, satu bangunan tahunan telah didirikan di tepi Blok F Ia mengandungi 2 buah bengkel Kemahiran Hidup, 1 stor sukan dan 1 stor Pendidikan Seni.

Biarpun dewasa ini bilik darjah dan lain-lain kemudahan sekolah agak mencukupi, tetapi sekolah ini pasti mengalami kekurangan bilik darjah ini pada masa akan datang. Ini adalah kerana Jabatan Pendidikan Melaka bercadang menghantar 8 kelas pelajar baru yang terdiri daripada pelajar tingkatan peralihan dan tingkatan 1 . Sekolah hanya dapat menampung 5 kelas pelajar baru sahaja dewasa ini. Apalagi kalau sekolah mempunyai kelas tingkatan 6 pada masa akan datang.

Balik Ke Menu Utama